Hadassah Creative Arts and Dance Ministry
PELAYANAN > Hadassah Creative Arts and Dance Ministry
Pelayanan Hadassah dimulakan oleh sekelompok pendoa syafaat muda dari gereja DUMC Bahasa pada tahun 2012. Sejak itu pelayanan ini telah berkembang dan kami setia melayani Tuhan melalui tarian, memperlengkapi para penari dan mendoakan bangsa-bangsa.
Hadassah juga melahirkan pemimpin-pemimpin yang setia di dalam pelayanan sehingga mereka dapat memberi kembali dan melayani di gereja ini dan juga gereja tempatan mereka. Sehingga kini, Hadassah memberkati banyak gereja-gereja luar serta pelbagai badan kerajaan dan bukan kerajaan NGO melalui seminar, latihan dan pemberian. Selain itu, Hadassah juga memperlengkapi penari lain dari Myanmar dan lain-lain.
Kerinduan kami agar Hadassah akan tetap setia menjalankan panggilannya menerusi setiap musim bersama Raja di atas segala raja.
Steffi Ann Tabari
Ketua Pelayanan Hadassah
Berdoa melalui Tarian
Visi
Mengembangkan Kerajaan Tuhan menerusi seni kreatif, tarian profetik dan tarian syafaat
Misi
Misi kami adalah untuk membawa lebih ramai penari sedia ada dan baru ke dalam keintiman dengan Tuhan melalui tarian dan pelayanan seni kreatif. Melengkapkan, memperhalusi, mengembangkan dan menamatkan perlumbaan kita dengan baik dan penuh kemenangan.
Mengapa Hadassah?
Nama Hadassah dipilih kerana panggilan pelayanan ini untuk berdoa melalui tarian. Kami percaya semasa kami berdiri seperti Ratu Ester di halaman Raja – kami boleh mencapai perkenan-Nya. Kedua, kerana Ester adalah orang-orang yang boleh memasuki kamar Raja, kami berpegang pada panggilan keintiman kami dengan Tuhan. Semasa kami menari di hadapan-Nya dan menggerakkan tangan dan kaki, kami berusaha untuk mencapai hati hati-Nya. Ketiga, kami memilih Hadassah – nama Ibrani Ester kerana ia adalah identiti kami. Identiti kita sebagai anak Tuhan. Serta Putera & Puteri Raja segala raja.
Adalah menjadi kerinduan kami untuk menjangkau negara dan mengembalikan identiti yang Tuhan maksudkan untuk negara dan bangsa ini.
Aktiviti Pelayanan
Pelayanan ini telah dimulakan pada tahun 2012 sehingga kini. Selain daripada latihan tarian mingguan, Hadassah menjalankan kelas, seminar dan sesi yang berlainan sepanjang tahun. Antara seminar yang pernah dianjurkan oleh Hadassah ialah:
- Seminar Tarian Profetik 1.0 (2013)
- Seminar Tarian Profetik 2.0 (2014)
- Dance Seminar: A day of entering the King’s chamber (2016)
- Menari atas Firman; Seminar Tarian Intensif (2017)
- Dance into The King’s Chamber Prophetic Dance Workshop (2018)
- Hadassah Homecoming Dance Seminar (2022)
Selain itu, Hadassah juga turut dijemput untuk mengajar, memperlengkapi dan mendorong penari-penari di gereja-gereja luar di sekitar Lembah Klang dan juga luar negeri.
Hadassah juga terlibat di dalam misi dan pelayanan jalanan yang dianjurkan oleh gereja.
Peranan Pelayanan Dalam Gereja
Pelayanan Hadassah bersama pelayanan Tabernakel lainnya bersama-sama menyambut dan mengiringi hadirat Tuhan sewaktu pujian dan penyembahan dan sepanjang ibadah berlangsung. Jadi amat penting untuk semua anggota pelayanan bersatu hati untuk menyembah Tuhan di dalam Roh dan Kebenaran. Dengan itu, persiapan peribadi juga amatlah penting.
MEMURIDKAN
Kerinduan Hadassah agar semua penari pertamanya akan bertumbuh dalam iman mereka. Justeru itu, pemuridan sama ada secara berkumpulan dan one on one amat dititikberatkan dalam pelayanan ini. Kami percaya, setiap penari mempunyai perjalanan masing-masing yang unik di hadapan Tuhan, dan melalui pemuridan, penari dapat membuat pertanggungjawaban untuk proses perjalanan iman mereka. Kami rindu agar semua penari akan bertumbuh matang melalui pelayanan ini.
BERSYAFAAT
Bersesuaian dengan nama pelayanan ini, semua penari haruslah sentiasa bersedia untuk bersyafaat bagi gereja, bangsa dan juga negara. Oleh yang demikian, di dalam setiap latihan dan juga pelayanan, kami akan mengambil masa lebih untuk bersyafaat. Selain itu, kami juga akan tetap bersyafaat melalui tarian, di mana ini dapat dilakukan menerusi tarian-tarian profetik yang dilakukan.
MEMPERLENGKAPI
Memperlengkapi para penari dengan kemahiran tarian yang berbeza menerusi latihan dan juga seminar yang dianjurkan. Pelayanan Hadassah menganjurkan kelas latihan dan juga seminar yang berbeza setiap tahun agar semua penari dapat mengembangkan bakat dan kreativiti tarian yang mereka miliki untuk kemuliaan Tuhan.
MENJANGKAU
Pelayanan Hadassah telah mejadi satu platform penting dalam penjangkauan jiwa-jiwa. Ini adalah kerana seni kreatif sememangnya mendapat sambutan dan agak seronok. Dengan kelebihan ini, Hadassah telah menjangkau dan akan terus menjangkau jiwa-jiwa menerusi tarian dan persembahan kreatif yang lain. Selain itu, setiap penari juga dilatih dan juga didedahkan dengan penjangkaun dan pemberitaan Injil melalu tarian.